Sunday 24 August 2014

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri SK Kg Balan, Dalat 2014

Pada 15 Ogos 2014 (Jumaat) yang lalu, SK Kg. Balan telah mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri peringkat sekolah. Majlis yang serba sederhana tersebut telah diadakan di Dewan Besar SK Kg. Balan.


Ucapan Perasmian Guru Besar
Aturcara majlis bermula seawal pukul 8.00 pagi di mana para guru dan murid menunggu ketibaan tetamu iaitu terdiri daripada para ibubapa dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK). Turut hadir memeriahkan majlis pada hari tersebut ialah mantan Guru Besar SK Kg. Balan Puan Hajjah Maskiah @ Rakiah Binti Nor, Encik Mohd. Nizalmi bin Abdul Rahman selaku YDP Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Kg. Balan dan  Imam 1 Masjid At-Taqwa Kampung Balan, Encik Abni bin Mat.


Penyampaian Insentif Kepada Murid
Majlis secara rasminya dimulakan pada pukul 08.30 pagi dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Ag Asri bin Ag Ali. Selepas itu, majlis diteruskan dengan  ucapan perasmian oleh Guru Besar, Encik Hambli bin Rabi. Dalam ucapan beliau, Encik Hambli mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa kerana memberi sokongan dan kerjasama yang baik terhadap aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk pembangunan dan kemajuan akademik murid-murid di SK Kg. Balan. Beliau juga mengambil peluang berkumpul dengan ibubapa pada hari tersebut untuk memberi penerangan terhadap pencapaian semasa sekolah dan juga memaklumkan kepada ibubapa tentang pencapaian anak-anak mereka. Untuk tujuan ini, pihak sekolah telah menyediakan satu sudut khas untuk memaparkan keputusan dan pencapaian peperiksaan murid-murid.

Sebahagian tetamu Yang Hadir
Penyampaian Cenderahati Kepada bekas Guru
Majlis pada hari tersebut diteruskan dengan penyampaian hadiah insentif kepada murid-murid yang berpuasa cukup sebulan. Insentif berupa wang tunai itu sebagai galakan dan dorongan kepada murid agar tekun dan rajin menunaikan ibadah puasa. Insentif ini merupakan sumbangan dan kelolaan Panitia Pendidikan Islam SK Kg Balan.


Persembahan Murid
Mantan Guru Besar dan YDP PIBG SK Kg Balan
Pada hari tersebut juga pihak sekolah turut menyampaikan cenderahati kepada tiga orang guru yang pernah berkhidmat di SK Kg Balan. Mereka ialah Ustaz Kamarulzaman, Cik Syahida dan Cik Nurul Syamimi. Jasa dan sumbangan mereka akan sentiasa dikenang oleh warga SK Kg. Balan.

Sebaik sahaja tamat upacara penyampaian cenderahati, majlis pada hari tersebut diteruskan dengan majlis jamuan. Tetamu yang hadir dijamu dengan pelbagai juadah raya yang disediakan. Juadah pada hari tersebut merupakan hasil sumbangan para ibu bapa dan orang kampung. Tetamu juga dihiburkan dengan persembahan tarian oleh murid.

Majlis bersurai pada pukul 11.30 pagi. 





Sunday 17 August 2014

Pertandingan Bercerita MDDM

Pada 13 Ogos 2014 yang lalu, SK Kg Balan telah menghantar seorang wakil untuk menyertai Pertandingan Bercerita yang telah dianjurkan oleh Majlis Daerah Dalat Mukah (MDDM) yang telah dikelolakan Perpusatakaan Awam Dalat. Pertandingan yang dibuka kepada semua sekolah di dalam Daerah Dalat itu hanya terbuka kepada murid tahap dua sahaja.
Turut hadir menyaksikan pertandingan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Awam Dalat, Kaunselor Francis Klumai, Timbalan Pengerusi, Kaunselor Ho Chai, Pegawai Perpustakaan Dalat, Tan Haji Daud dan beberapa pegawai dari Perpustakaan Awam Mukah dan Majlis Daerah Dalat Mukah.
Antara objektif pertandingan tersebut ialah (bersambung)...

Wednesday 6 August 2014

Tanah Tumpah Darahku


MALAYSIA, Ogos 2014 - Sempena kedatangan bulan Ogos yang begitu sinonim dengan gelaran bulan kemerdekaan, warga SK Kg Balan juga terpanggil untuk turut sama meraikan bulan yang menjadi lambang kebebasan kepada seluruh rakyat Malaysia. Berlalulah sudah Ramadhan, sebulan berpuasa. Tiba syawal kita rayakan dengan rasa gembira pun sudah berlalu. Kini, kemerdekaan pula bakal menjelma. Walaupun masih awal, namun kerana tingginya semangat patriotisme warga SK Kg Balan, maka gotong-royong untuk memasang bendera telahpun dijalankan oleh warga-warganya pada 6 Ogos 2014 yang lalu. Semoga semangat cinta akan negara ini terus mekar dalam hati dan pemikiran anak-anak kita dan terus berkekalan sampai bila-bila. Insyaalah dengan bimbingan dan tunjuk ajar warga pendidik SK Kg Balan yang penuh dedikasi, anak-anak pasti dapat mengisi kemerdekaan negara dengan aktiviti dan cara yang menguntungkan negara. Moga anak-anak terhindar daripada gejala dan acara sambutan yang terpesong bukan sahaja dari sudut aqidah dan tata budaya masyarakat, malah menyalahi undang-undang negara.

      MERDEKA laungan keramat yang kita dengar apabila setiap kali tibanya 31 Ogos. Namun kalau sekadar melaungkan merdeka beberapa kali adakah cukup membuktikan kita memahami erti kemerdekaan sebenar? Jika hanya meletakkan bendera Malaysia di kereta, di rumah dan di mana-mana sahaja menjelang 31 Ogos, adakah situasi ini cukup membuktikan kita bersemangat patriotik?
Isu menterbalikkan bendera Malaysia, bendera dijadikan sebagai pakaian, merosakkan lirik lagu Negaraku, tidak menghormati lagu Negaraku semasa dinyanyikan, di mana sebenarnya jati diri anak-anak Malaysia?
Anak-anak muda hari ini kurang menghayati erti kemerdekaan kerana dilahirkan dalam era baharu dengan semuanya serba canggih dengan teknologi terkini. Dengan erti kata lain, tidak pernah mengalami kesusahan dan keperitan seperti yang pernah dialami datuk dan nenek moyang kita yang jauh di sanubari mereka mencintai Malaysia sepenuh jiwa dan raga.
     Seorang warga Indonesia yang ditemui memberitahu, di negaranya semasa menyambut Hari Kemerdekaan adalah berbeza di Malaysia. Semua yang hadir hanya diberi makan ubi kayu dengan merasai suasana sambutan yang diadakan seolah-olah mereka berada di zaman penjajahan kerana pemimpin mahu mereka menjiwai suasana itu sendiri. Inilah yang kurangnya pada anak-anak Malaysia sebab lahir sahaja semua kemewahan telah berada di depan mata.
        Remaja kini dikatakan kurang mengenali tokoh-tokoh yang berjasa dan yang telah banyak menabur bakti kepada negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong. Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja yang sepatutnya menjadikan tokoh-tokoh tersebut sebagai idola.
Seorang graduan yang dilahirkan perlu cintakan negara begitu juga rakyatnya dan saya bersetuju supaya subjek Kenegaraan Malaysia menjadi subjek wajib dan diketengahkan untuk mendedahkan kepada anak-anak kita erti kemerdekaan dan menghargai negara. Seronok belajar sejarah kerana sejarahlah membawa kita mengenal kehidupan.
           Keprihatinan ini ditunjukkan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang bertitah meminta supaya kerajaan segera memperkenalkan subjek Kenegaraan bertujuan mendidik anak bangsa mengenai Perlembagaan dan melahirkan warganegara Malaysia yang memahami aspek perpaduan dan permuafakatan.
Dalam titah baginda dalam Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013, bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional, di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan baru-baru ini, baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.
Titah baginda, kanak-kanak perlu diasuh melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol negara seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian.
'' Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati hendaklah segera diperkenalkan tanpa bertangguh dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah maktab perguruan, kolej serta institusi latihan dan diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam,'' titah baginda penuh amanat menyuntik semangat jiwa patriotisme yang tinggi.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan perlu dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotisme. Aktiviti-aktiviti yang bersemangat patriotisme yang harus diterapkan sepenuhnya dalam kalangan pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.
Media masa, sama ada media cetak, elektronik atau media baharu semuanya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kehidupan manusia sangat besar sehinggakan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen dan komputer.
Sehubungan itu, media masa wajar dijadikan alternatif paling berkesan bagi menyemai semangat patriotisme. Filem-filem bercorak patriotisme perlu diberi keutamaan seperti filem Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Hati Malaya, Paloh dan Embun.
Kita menanti perkembangan terkini pembikinan filem bertajuk Kanang Anak Langkau sebagai mengenang jasa mendiang Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dan menjadikan contoh kepada para pegawai dan anggota tentera lain. Filem Tanda Putera pula mewujudkan pelbagai spekulasi. Rasanya, penonton-penonton filem di Malaysia sudah semakin matang dan mampu menilai mesej ikhlas dari filem berkenaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan mereka yang menonton wayang tiga hari sebelum dan selepas 31 Ogos 2013 akan bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku sebelum tayangan filem di pawagam dan mungkin diteruskan hingga Hari Malaysia 16 September jika diluluskan nanti.
Penghayatan dalam lagu, puisi, sajak dan syair berkaitan dengan patriotisme bagi menyemai semangat cintakan negara perlu ada dalam diri anak muda. Ada segelintir remaja yang tidak memahami puisi, ketawa dan berjenaka semasa sesi mendeklamasikan sajak. Dan sedihnya, melihat situasi apabila pelajar-pelajar yang menyanyikan lagu Negaraku dengan lirik yang salah dan tidak berdiri tegak. Ibu bapa harus menjadi tunjang utama keluarga dan mengambil peranan dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan remaja khususnya cabaran ibu bapa yang masih muda.
Sajikan cerita-cerita rakyat yang berunsurkan sejarah untuk anak-anak mengenali warisan dan budaya. Semasa bercuti, bawalah mereka ke tempat-tempat bersejarah yang menarik di Malaysia. Bukankah - "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung"? Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. Salam 1Hati.
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup,
Bersatu dan maju,
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita,
Selamat bertakhta,
Rahmat bahagia,
Tuhan kurniakan,
Raja kita,

selamat bertakhta.

Monday 4 August 2014

Gotong-royong memasang jaring surau

Kerja pemasangan jaring

Kerja pemasangan jaring

Kerja pemasangan jaring

Najis Burung yang mengotorkan surau
Gotong-Royong mini telah diadakan pada 4 Ogos 2014 untuk memasang netting untuk menghalang burung daripada masuk ke dalam surau. Sebelum ini, surau sekolah seringkali menghadapi masalah najis burung yang telah mengotorkan kebersihan surau dan mengganggu aktiviti di surau khususnya untuk aktiviti sembahyang dan kelas-kelas agama. Jadi, dengan siapnya pemasangan jaring tersebut diharapkan masalah najis burung dapat diatasi.

Sunday 3 August 2014

Majlis Khatam Al-Quran

SK BALAN-25 JULAI 2014. Majlis Khatam Al-Quran telah diadakan di Surau Al-Husna SK Kg Balan. Majlis tersebut diadakan sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan merupakan salah satu Program Panitia Pendidikan Islam. Selain Majlis Qatam Quran tersebut, pelbagai program lain telah dilaksanakan dengan jayanya sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Antaranya ialah Tazkirah Ramadhan, Tadarus Al-Quran dan  sebagainya.