Sejarah & Profil Terkini Sekolah

*Kemaskini 25 Julai 2017


Sekolah Kebangsaan Kampung Balan telah dibuka oleh penduduk Sibu pada tahun 1958. Pada awal sejarahnya, bangunan sekolah ini dibina hasil kerjasama dan gotong-rotong penduduk kampung. Kos awal pembinaan sekolah ini menggunakan lebihan wang koperasi yang berjumlah RM350. Segala kerja dan urusan pembinaan sekolah ini pada awalnya telah diuruskan oleh Encik Aup Bin Tutil iaitu ketua kampung pada masa tersebut.

            Pada awalnya, sekolah ini hanya terdiri daripada sebuah bangunan kayu sahaja. Sekarang, Sekolah Kebangsaan Kampung Balan mempunyai tiga bangunan akademik yang mengandungi 6 bilik darjah (Kelas Tahun 1 hingga kelas Tahun 6), Kelas Maju (Pemulihan) dan juga sebuah bangunan Prasekolah. Sekolah ini juga memiliki sebuah Pusat Sumber Sekolah (PSS) mini, bilik guru, pejabat Guru Besar, sebuah surau dan Dewan Terbuka. Keseluruhan bangunan diperbuat daripada kayu dan bangunan-bangunannya dibina bertiang. Hal ini kerana, kawasan sekolah kerap kali dilanda banjir akibat air pasang besar. Sebelum ini, Sekolah Kebangsaan Kampung Balan dikenali sebagai SRK Kampung Balan. Sekolah ini merupakan sekolah rendah gred B.

            Lokasi sekolah adalah di tengah-tengah Kampung Balan dan terletak lebih kurang 10km daripada pekan Dalat. Kawasan sekolah yang strategik memudahkan ibu bapa dan penjaga menghantar anak mereka ke sekolah. Pada masa ini, sekolah mempunyai 14 orang guru, tiga staf sokongan, dan 88 orang murid (Data 2017, termasuk prasekolah). Majoriti murid berbangsa Melanau beragama Islam dan Kristian. Kebanyakannya berasal daripada keluarga yang berpendapatan sederhana yang mana ibu bapa terdiri daripada buruh, petani dan sebilangan kecil ibu bapa mereka merupakan penjawat awam.

              Dalam kegiatan kokurikulum, sekolah ini aktif dalam beberapa acara sukan. Seiring dengan perubahan dan senario sukan tanah air, kecenderungan jenis sukan yang digemari oleh warga sekolah juga berubah mengikut citarasa semasa. Antara tahun 2013-2017, antara sukan yang menjadi kegemaran dan penekanan pihak sekolah ialah sukan Hoki, Bola Baling, Sofbol, Bola Sepak, Bola Jaring dan acara olahraga. Walaupun merupakan sebuah sekolah yang bersaiz kecil, SK Kampung Balan memiliki pencapaian yang sangat membanggakan dalam bidang kokurikulum dan sukan. Antara pencapaian tersebut ialah penyertaan Peringkat Negeri & Peringkat Kebangsaan dalam sukan Sofbol (2015), pasukan Bola Baling Peringkat Negeri (2014 & 2015), Catur peringkat Negeri (2017), tiga orang murid menyertai Pertandingan Sofbol Peringkat Negeri (2017) dan seorang murid menyertai Pertandingan Sofbol Peringkat Kebangsaan (2017) serta beberapa kejayaan lain pada Peringkat Bahagian Mukah mahupun Peringkat Daerah.

             Selain itu, sekolah ini juga mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang dan menerima banyak anugerah dan  Sijil Penghargaan Kecemerlangan UPSR daripada Pejabat Pendidikan Daerah Dalat setiap tahun bermula 2003 hingga 2017. Malah pencapaian cemerlang UPSR pada tahun 2015 telah melayakkan SK Kg. Balan menerima Anugerah Tawaran Baharu Kepada Pengetua dan Guru Besar (TBPGB) kerana berjaya mencapai kelulusan 100% UPSR dan mencatat GPS 1.46. Sekolah ini juga kerap kali melahirkan murid 5A dan secara konsisten telah lulus 100% UPSR sejak 2012 sehingga tahun 2015.
 

No comments:

Post a Comment

Komen jer..