Monday, 27 January 2014

Logo Baharu KPM


Rasional
Logo ini direka mengunakan huruf ‘Alif’ sebagai konsep teras. Pendekatan mengunakan huruf atau typography adalah berdasarkan pengertian bahawa manusia yang pada masa hidupnya, berada pada jalan yang lurus sebagaimana huruf ‘Alif’ itu. Alif juga membawa pengertian ILMU kerana Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat.
Ilmu juga di klasifikasikan sebagai pengetahuan atau kepandaian yang merangkumi semua bidang
yakni duniawi mahupun ukhrawi. Ilmu juga di takrifkan sebagai pemindahan roh atau jiwa daripada kegelapan kepada kecerahan dan sebagai suatu kebenaran dan keyakinan. Logo ini menggunakan dua ‘P’ dan dua ‘Alif’ melambangkan dua peringkat pendidikan iaitu Sistem Sekolah dan Sistem Pengajian Tinggi. Hurup ‘P’ yang bertingkat kearah Alif melambangkan tahap-tahap kecemerlangan pendidikan Malaysia. Bentuk Bulat melambangkan Malaysia sebagai pusat pendidikan yang bersifat global. Dari segi warna, Biru bermaksud profesionalisma dalam sistem pendidikan negara. Kuning keemasan melambangkan kecemerlangan. Putih Melambangkan sistem pendidikan yang bermutu tinggi dan membentuk insan yang berkualiti dan berilmu mulia.

Rekabentuk oleh :
Prof. Dato’ Dr Ahmad Zainuddin & Mohd Faizal Ahmad
(Majlis Rekabentuk Malaysia)

Saturday, 25 January 2014

Bantuan Persekolahan RM100

Bantuan persekolahan RM100 telah diagihkan kepada semua murid SK Kampung Balan pada Isnin lalu. Agihan bantuan itu bermula pada pukul 3.00 PM. Sebelum agihan diagihkan, para ibu bapa atau penjaga murid diberi taklimat dan penerangan tentang bantuan tersebut oleh Guru Besar, Encik Hambli Bin Rabi. Guru Besar juga mengambil kesempatan untuk memberi penjelasan dan penerangan tentang dasar dan perancangan sekolah untuk kemajuan prestasi murid-murid.
Guru Besar turut mengingatkan agar bantuan persekolahan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin khususnya untuk membeli peralatan persekolahan murid-murid seperti buku aktiviti dan juga alat tulis. Oleh itu, para ibu bapa yang hadir turut diterangkan bahawa pihak sekolah dalam perancangan untuk memastikan setiap murid harus mempunyai buku aktiviti tambahan (buku kerja) untuk mempelbagaikan sumber pembelajaran dan pengajaran (PdP). Buku aktiviti tersebut menyediakan kepelbagaian bentuk latihan untuk aktivti pengukuhan selepas waktu PdP di dalam kelas.


Taklimat kepada ibu bapa yang hadir


Agihan Bantuan RM100


Wednesday, 15 January 2014

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 2014

Berarak ke masjid
HUJAN yang lebat sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak tidak menghalang para peserta meneruskan perarakan sejauh 3.5 kilometer mengelilingi bandar Mukah.
Sambutan Maulidur Rasul kali ini disertai 10,000 peserta dengan 175 kontinjen termasuk 13 kontinjen bukan Islam yang melibatkan 237 orang, turut sama-sama memeriahkan sambutan tersebut.
Kontijen yang penuh bersemangat
Sambutan Malidur Rasul diadakan secara besar-besaran untuk mengingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada setiap 12 Rabiulawal tahun Hijrah.
Program sampingan antaranya ialah pameran hidup sihat, gerai jualan, pertandingan futsal dan autoshow, aktiviti kajian impak, pertandingan pintu gerbang, sumbangan Maulud Nabi di hospital dan ceramah/forum.
Walaupun hujan tetap semangat!
Selain itu, tema sambutan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ memang bertepatan kerana perarakan turut disertai pelbagai kaum iaitu termasuk masyarakat bukan beragama Islam.
Guru Besar dan sebahagian guru SK Balan
Turut hadir Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwa lslam) Datuk Daud Abdul Rahman, menteri-menteri dan dif-dif kenamaan dan penduduk Mukah.

Weh, hujan pun sempat bergambar!
Tidak ketinggalan kontijen dari SK Kampung Balan, Dalat yang merupakan satu-satunya sekolah rendah dari Daerah Dalat yang menyertai perarakan peringkat negeri Sarawak di Mukah. Kontijen yang diketuai oleh Guru Besar, Encik Hambli Rabi ini disertai oleh 13 orang guru dan kakitangan serta 21 orang murid tetap bersemangat walaupun hujan turun dengan lebat sejak dari awal pagi.  Lengkap dengan tema pakaian serba "purple", kontijen SK Kpg. Balan berjaya bertahan dalam kesejukan dan kehujanan sehinggalah tamat acara pada hari tersebut.

Friday, 10 January 2014

Pra Sambutan Maulidur Rasul 2014

Sepanduk SK Kpg.Balan, Dalat
Tidak lama lagi, pada 14 Januari 2014 umat  Islam akan menyambut sambutan tahun kelahiran Baginda Muhammad Rasul Allah. Seluruh dunia menyambutnya pada 12 Rabiulawal setiap tahun. Di Sarawak, khususnya di Mukah, kita juga tidak terkecuali dari merayakan sambutan tersebut dan lebih meriahnya diadakan perarakan bagi merayakan sambutan tersebut.

Fasa 1 : Perkarangan Masjid
Fasa 3 : Hampir siap
Fasa 2 : Dewan Sekolah









Aktiviti perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1435H / 2014 M yang akan diadakan di Mukah pada tahun ini pasti akan disambut dengan meriah. Oleh itu, SK Kampung Balan turut sama menyertai pertandingan sepanduk yang turut dipertandingkan sempena aktiviti perarakan tersebut. Walaupun kemungkinan hanya dengan kontijen yang kecil, namun semangat untuk mnenyertainya begitu besar sekali terutama dalam kalangan diri murid SK Kpg Balan dan para pendidik.


Selamat maju jaya dan selamat berjuang kepada warga SK Kpg. Balan. Walaupun keinginan untuk menang itu tinggi, tetapi pastikan amalan kesederhanaan diutamakan. Kerana, "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah".

Latihan Kebakaran



Tarikh : 10 Januari 2014, JUMAAT.
Aktiviti : Latihan Kebakaran
Masa : 9.40 pagi
OBJEKTIF            :
1. Memastikan murid sentiasa bersedia untuk menghadapi situasi kecemasan ketika berada di dalam kelas.
2. Melatih murid melakukan tindakan yang wajar dan betul untuk menyelamatkan diri ketika kecemasan.
Berikut merupakan sedikit gambaran tentang aktiviti pada pagi tersebut.


Thursday, 2 January 2014

Pendaftaran Murid

Pendaftaran Murid
Proses pendaftaran dan kemasukan murid-murid di sekolah telah diadakan pada 31 Disember 2013 yang lalu di SK Kpg. Balan yang bermula seawal pukul 8.00 pagi. Namun, segelintir para ibu bapa telahpun berada lebih awal di sekolah bersama-sama dengan anak-anak mereka walaupun keadaan hujan turun dengan lebat pada sebelah pagi. Hal ini menunjukkan kesungguhan para ibu bapa di Kampung Balan, begitu mengambil berat tentang pelajaran anak-anak mereka. Sudah pasti para ibu bapa yang penuh bersemangat ini ingin memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang baik dan berkualiti walaupun masih pada peringkat rendah lagi. Kesedaran dan keazaman daripada pihak ibu bapa inilah merupakan tulang belakang kepada kejayaan murid-murid SK Kampung Balan dalam bidang akademik.

Taklimat kepada ibu bapa oleh Guru Besar
Agihan Buku Teks
Pada hari tersebut juga, pendaftaran murid-murid tahun 1 juga telah diadakan. Sejurus kemudian, taklimat kepada ibu bapa juga diadakan bagi memberi penerangan dan penjelasan tentang dasar dan hala tuju sekolah pada tahun 2014. Pada tahun 2014, SKKB mempunyai 96 orang murid dalam daftar semasa hari pendaftaran iaitu seramai 24 orang murid prasekolah dan 72 orang murid kelas perdana. Manakala, kakitangan guru seramai 14 orang dan kakitangan bukan guru 3 orang.

Sebaik sahaja proses pendaftaran selesai kira-kira pukul 10 pagi, Mesyuarat Staff Pertama diadakan sejurus kemudian. Mesyuarat berjalan lancar dan ditangguhkan kira-kira pada pukul 01.00 tengah hari.

VISI & MISI Baharu KPM

VISI KPM 2014

PENDIDIKAN BERKUALITI, INSAN TERDIDIK, NEGARA SEJAHTERA


MISI KPM 2014

MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNTUK MEMBANGUNKAN POTENSI INDIVIDU BAGI MEMNUHI ASPIRASI NEGARA.

Selamat Tahun Baharu 2014


Tahun 2013 baru sahaja melabuhkan tirainya sejak beberapa hari lepas. Kini, tahun baharu 2014 telahpun bermula. Segala suka duka dan memori tahun 2013  masih lagi hangat dirasakan. Kejayaan demi kejayaan SK Kpg. Balan pada tahun lepas seperti baru sahaja dikecapi. Namun,  setiap warga SK Kpg. Balan tidak akan terbuai oleh kenangan kejayaan-kejayaan indah itu semata-mata. Warga SKKB akan terus memandang ke hadapan untuk mencapai lebih banyak lagi kejayaan pada tahun 2014 ini. Warga SKKB sudah pasti  akan melakukan yang terbaik agar menjadi sebuah sekolah yang  cemerlang dalam semua bidang khususnya dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Dengan azam tahun baharu yang telah ditanam dalam diri, pasti cabaran-cabaran yang bakal dihadapi akan dapat ditempuh dengan penuh kekuatan dan kesabaran serta penuh bijaksana. Selaras dengan VISI dan MISI baharu KPM, warga SKKB pasti mahu menyahut seruan tersebut dengan penuh keazaman. Semoga SKKB akan terus cemerlang sepanjang tahun 2014.